Jom layan Sofuto Krim best dekat Hakodate

【Tarikh Kemaskini: Julai 2025】
Hokkaido, wilayah yang menghasilkan lebih separuh daripada jumlah susu segar Jepun, terkenal dengan industri tenusu yang maju berkat tanahnya yang luas. Kualiti produk tenusu di sini bahkan diiktiraf di seluruh dunia. Antara produk istimewa dari Hokkaido ialah Sofuto Krim yang dibuat daripada susu segar dan berlemak, yang menjadi salah satu produk khas terkenal di Hakodate. Industri tenusu Hakodate bermula di bahagian selatan Hokkaido dan masih berkembang pesat hingga kini. Bila berkunjung ke Hakodate, anda akan melihat ramai orang menikmati aiskrim lembut ini, tak kira panas terik musim panas atau sejuk dingin musim sejuk. Jangan lepaskan peluang untuk merasai keenakan rasa asli ini terus di tempat asalnya!
Jalan-jalan sambil cuba Sofuto istimewa Hakodate

Mula dari hentian trem Suehirocho, kemudian daki bukit Motomachi. Di sana, korang boleh nampak bangunan lama macam bekas Konsulat British, Taman Motomachi yang cantik, dan Balai Raya Lama Hakodate yang penuh sejarah.
Sepanjang jalan dari Balai Raya ke Bukit Hachiman, ada sebuah kedai aiskrim yang jual sofuto dengan perisa-perisa‘rare’ tapi sedap dan susah dijumpai di tempat lain. Beli perisa yang teringin nak dirasa, kemudian jalan-jalan sambil layan rasa aiskrim yang pekat dan ‘ori’ dari Hakodate. Jika mahu berehat, boleh singgah dan berehat di Taman Motomachi, antara lokasi berhampiran yang amat disyorkan untuk lepak dan nikmati suasana.
Hakodate Soft House Motomachi Kitaoucha
- Alamat: Tingkat 1, No.14-4, Motomachi, Hakodate
- Waktu Operasi: 9:00 pagi – 5:00 petang
- Hari Tutup: April – Oktober (tiada cuti), November –Mac (tutup semasa musim sejuk)

Sofuto Krim pada musim sejuk adalah satu kebiasaan bagi orang Hakodate

Di area Hakodate dan kawasan sekitarnya, bukan sedikit kedai sofuto krim yang masih beroperasi walaupun pada musim sejuk. Perkara ini mungkin mengejutkan bagi mereka yang datang dari luar Hokkaido, tetapi bagi penduduk tempatan, cinta mereka terhadap sofuto krim memang tiada tolok bandingnya, walaupun suhu jatuh di bawah paras beku.
Menikmati aiskrim sejuk selepas berendam dalam onsen yang suam, atau sambil bersantai di bilik yang hangat, memberikan satu kenikmatan unik yang sukar digambarkan. Bagi orang Hakodate, sofuto krim bukanlah sekadar pencuci mulut pada musim panas, tetapi pencuci mulut yang dinikmati sepanjang tahun — satu kemanisan yang sudah sebati dalam kehidupan seharian mereka.
Legenda dan cerita orang tentang aiskrim sofuto

Pernahkah anda dengar orang kata, “Makin sedap aiskrim, semakin cepat ia akan cair”? Bunyi macam mitos atau cerita orang kan? Tapi sebenarnya, ada sebab di sebalik “legenda bandar” ni.
Rahsianya terletak pada dua perkara: susu segar dan tanpa bahan pengawet. Dan inilah juga sebab utama kenapa sofuto di Hakodate sangat istimewa. Dibuat daripada susu segar yang diperah terus dari ladang tempatan, dan digabung dengan resepi istimewa dari setiap kedai — hasilnya, perisa yang kaya dan memikat hati.
Jadi kalau sudah pegang ais krim, jangan tunggu lama-lama! Nikmatilah pada saat paling sedap — waktu ia masih sejuk, lembut, dan belum cair. Kebanyakan kedai turut sediakan sudu kecil, jadi kalau perlukan, jangan malu dan segan untuk minta dari staf ya!
Sofuto lemak berkrim yang menggunakan susu segar dari ladang ternakan


Susu merupakan kunci utama dalam menghasilkan aiskrim yang sedap. Kebanyakan susu yang digunakan dalam sofuto di Hakodate berasal dari ladang ternakan di dalam dan sekitar bandar Hakodate. Susu ini dihasilkan oleh lembu tenusu yang dibela dengan sihat dalam persekitaran yang bebas stress. Cuaca sejuk di Hakodate pada musim panas adalah suasana terbaik untuk lembu-lembu yang sensitif terhadap panas, menjadikannya persekitaran ideal untuk menghasilkan susu yang berkualiti tinggi dan lazat.
Pada tahun 1904, ketua tempat ibadat Trappist yang pertama telah mengimport lembu tenusu dari Perancis, tanah airnya, dan memulakan pengeluaran produk tenusu seperti keju. Pada awalnya, industri tenusu menghadapi pelbagai cabaran, tetapi dengan usaha gigih, ia akhirnya berjaya dan susu serta produk tenusu menjadi sebahagian penting dalam hidangan harian rakyat Hakodate.
Kini, ladang-ladang ternakan di dalam dan sekitar bandar Hakodate menjual aiskrim sofuto dan produk tenusu yang dihasilkan menggunakan susu yang segar dari ladang sendiri. Jika melawat Hakodate, singgah di kedai ladang ini sangat disyorkan. Nikmati aroma segar susu asli dan suasana alam semula jadi sambil menikmati momen-momen indah di sini.
- Alamat:No. 118, Nakano-cho, Bandar Hakodate, Hokkaido, Jepun
- Waktu operasi:
○ April – Jun;September – November:10:00-17:00
○ Julai – Ogos:10:00-17:30
○ Disember – Mac:10:00-16:00
- Hari cuti:
○ April – November:Tiada cuti
○ Disember – Mac:Rabu
○ 31 Disember – 1 Januari
- Laman web rasmi (Bahasa Jepun)
Jom cabar diri ambil sofuto sebanyak yang boleh di kedai layan diri



Di sebuah kawasan perumahan, terdapat sebuah kedai ais krim tempatan yang menarik perhatian. Sebaik saja melangkah masuk, anda akan melihat pelbagai jenis kon yang dipamerkan — dari cawan biasa, kon standard, hingga kon wafel, dengan pelbagai saiz untuk yang boleh dipilih mengikut citarasa. Setelah memilih jenis dan saiz kon, tiket boleh dibeli di mesin jualan dan serahkan kepada pemilik kedai untuk mendapatkan kon pilihan anda.
Di dalam kedai, terdapat pelbagai perisa klasik seperti susu, strawberi, moka, coklat, dan tembikai, serta pelbagai kombinasi perisa yang membolehkan anda mencipta ais krim sendiri mengikut citarasa. Di sinilah keunikan kedai ini, kerana kita boleh ambil sendiri aiskrim tersebut secara layan diri sebanyak mana yang dimahukan! Tapi jangan tamak sangat, sebab aiskrim yang terlalu tinggi mudah jatuh. Nikmati dengan kadar secukupnya untuk elakkan pembaziran!
Kedai Best Friend Cawangan Hinode
- Alamat: 12-2, Hinode-chō, Hakodate, Hokkaido, Jepun
- Waktu operasi:11:00~17:00(Cuti pada musim sejuk)
Aneka sofuto krim menarik yang hanya boleh anda temui di Hakodate
Dari perisa standard seperti susu dan vanila, sehinggalah kepada perisa unik yang menggunakan bahan-bahan tempatan seperti dakwat sotong dan rumpai laut (kombu), serta perisa kegemaran ramai seperti Hokkaido Melon, sofuto krim di Hakodate hadir dengan pelbagai variasi menarik!
Dengan pilihan yang bervariasi dan unik, anda mungkin akan mengambil masa yang lama untuk memilih mana satu yang patut dicuba dahulu. Akan tetapi, itu juga merupakan sebahagian daripada keseronokannya!
Selepas puas berjalan menikmati keindahan kota Hakodate, apa kata berehat seketika dengan sofuto krim yang sejuk, lemak berkrim dan menyegarkan – salah satu cara terbaik untuk memanjakan diri dan nikmati sisi lain ‘vibe’ Hakodate.

Sofuto Krim Yubari Melon

Sofuto Krim Labu Kukkurin (Kabocha)

Sofuto Krim Rumpai Laut (Konbu)

Sofuto Krim Spesial Dakwat Sotong

Sofuto Krim Wain

Sofuto Krim Coklat