Keyword Search

Rasai Keenakan Genghis Khan di Hakodate:3 Restoran Terbaik yang Wajib Dicuba

Sumber: Laman web MAFF

〔Tarikh Kemaskini:September 2025〕

Genghis Khan adalah salah satu hidangan paling terkenal di Hokkaido dan merupakan kombinasi sempurna untuk dinikmati bersama bunga sakura dan BBQ musim panas, kedua-duanya sangat popular di kalangan pelancong. Apabila melawat Hakodate, jangan lepaskan peluang untuk merasai hidangan istimewa dari utara ini! Kali ini, kami akan memperkenalkan tiga restoran Genghis Khan yang terpilih dan wajib dicuba di Hakodate.

Apa itu Genghis Khan?

Sumber: Laman web MAFF

Genghis Khan merupakan hidangan di mana daging kambing, tauge, lada benggala, lobak merah, dan hirisan labu dipanggang di atas pinggan besi khas. Menu ini telah lama disukai oleh penduduk tempatan sebagai salah satu hidangan istimewa wilayah Hokkaido.

Asal-usul Genghis Khan

Sumber: Photo AC

Semasa era Taisho (1912–1926) di Jepun, tercetusnya Perang Dunia Pertama menyebabkan kesukaran untuk mengimport bulu dari luar negara. Menurut dasar kerajaan, ladang biri-biri ditubuhkan di Hokkaido untuk menghasilkan bulu bagi pakaian seragam tentera. Selepas Perang Dunia Kedua, permintaan untuk pakaian bulu meningkat di seluruh negara, tetapi dengan pengedaran bulu import dan serat sintetik, peranan biri-biri yang dibela di Hokkaido beralih daripada membekalkan bulu kepada membekalkan daging biri-biri, sekali gus menjadikan daging biri-biri popular sebagai makanan.

Terdapat beberapa teori mengenai asal-usul nama “Genghis Khan”, namun walaupun ia tidak mempunyai kaitan langsung dengan masakan Mongolia, menu ini dikatakan dinamakan sempena Genghis Khan (Temujin) dari Empayar Mongol. Teori lain pula mengatakan bahawa Genghis Khan menjadi popular selepas Perang Dunia Kedua sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan penggunaan daging biri-biri. Memandangkan ramai rakyat Jepun pada era awal Showa belum terbiasa dengan bau khas daging biri-biri, hidangan ini telah diubah suai dengan mengambil contoh daripada masakan Cina ‘kaoyangrou’ (daging panggang) supaya lebih mudah diterima.

Cara Menikmati Genghis Khan

Kuali khas untuk memanggang Genghis Khan

Sumber: Photo AC

Untuk Genghis Khan, pemanggang berbentuk kubah khas digunakan, dimana bahagian tengahnya terangkat dan mempunya alur di sekeliling kuali. Sayur-sayuran seperti tauge, lada benggala, dan labu dihiris diletakkan di dalam alur, manakala daging kambing disebar di bahagian tengah yang terangkat untuk dipanggang. Semasa daging dimasak, jus dan lemaknya mengalir ke dalam alur, kemudian meresap ke dalam sayur-sayuran sebagai penambah perisa yang lazat.

2 Cara Menikmati Hidangan Genghis Khan

Terdapat dua jenis daging yang digunakan untuk Genghis Khan Hokkaido, iaitu daging kambing mentah dan daging kambing yang diperap. Cara menikmatinya adalah seperti berikut:

① Daging kambing mentah: Selepas dipanggang, celup daging ke dalam sos khas setiap restoran.

② Daging kambing perapan: Daging diperap dalam sos khas, panggang dan makan terus begitu sahaja.

*Cara di atas adalah cara umum untuk menikmati Genghis Khan. Cara makan mungkin berbeza di beberapa kawasan di Hokkaido. Bagi Hakodate, pilihan ① adalah yang paling popular.

3 Restoran Genghis Khan di Hakodate yang wajib dicuba

Mahukah anda cuba Genghis Khan ketika melancong ke Hakodate? Kali ini, kami akan kongsikan tiga restoran terpilih berhampiran Stesen Hakodate, Goryokaku, dan kawasan Yunokawa Onsen. Hidangan lazat ini sesuai dinikmati sambil menjelajah tempat menarik!

Kawasan Stesen Hakodate:Sumibi Genghis Khan Iidaya

Sumibi Genghis Khan Iidaya terletak di sepanjang laluan trem di kawasan kedai-kedai lama, hanya mengambil masa 4 minit berjalan kaki dari Stesen Horaicho. Suasana dalam kedai, dengan nostalgia era Showa serta ruang yang bersih dan kemas, mempunyai bilangan tempat duduk yang terhad dan boleh dikatakan sentiasa penuh, jadi tempahan awal amatlah disyorkan. Restoran ini menggunakan daging kambing terpilih dari Australia yang dipanggang menggunakan arang untuk mengekalkan jus daging. Sos istimewa mereka dibuat daripada rumpai laut dari Minamikayabe dan halia segar, ringan, juga menyegarkan pasti meningkatkan selera makan anda.

Menu yang paling popular ialah “Bahu kambing panggang”. Potongan daging istimewa seperti hati kambing dan thymus kambing (daging organ yang lembut) turut disediakan, menjadikan hidangan istimewa ini wajib dicuba oleh pencinta makanan dari segenap kawasan.

  • Alamat:22-1, Horai-cho, Hakodate, Hokkaido, Jepun
  • Akses:4 minit berjalan kaki dari hentian trem Horai-cho
  • Waktu operasi:16:00~21:30(L.O.21:00)
  • Cuti:Khamis, Hari Rabu minggu ke-3 pada setiap bulan
  • Tempahan:0138-27-2929

Kawasan Goryokaku:Genghis Khan Eijin Cawangan Hakodate

Genghis Khan Eijin Cawangan Hakodate terletak berhampiran Goryokaku, hanya kira-kira 2 minit berjalan kaki dari hentian trem Goryokaku Koen-Mae, menjadikannya lokasi yang mudah untuk diakses. Berbeza dengan cara masakan Genghis Khan biasa, restoran ini menggunakan kuali pemanggang besi khas yang direka khusus. Sayur-sayuran diletakkan di bahagian tengah yang berlekuk, manakala daging kambing disusun di tepi, membolehkan jus daging mengalir dan menyerap ke dalam sayur-sayuran. Staf akan memanggang daging untuk anda (kali pertama sahaja), jadi bagi pengunjung kali pertama, anda boleh bersantai dan menikmati hidangan dengan relaks.

Restoran ini memilih daging kambing Australia segar dengan teliti. Selain pilihan menu a la carte, terdapat juga menu bufet. Restoran dua tingkat ini menawarkan tempat duduk di kaunter dan meja serta bilik persendirian, menjadikannya selesa untuk pengunjung solo atau berkumpulan.

※Bayaran tempat duduk dikenakan sebanyak 300 yen seorang (termasuk cukai).

Kawasan Yunokawa Onsen:Genghis Khan Temujin Cawangan Yunokawa

Genghis Khan Temujin Cawangan Yunokawa hanya kira-kira 2 minit berjalan kaki dari hentian trem “Yunokawa Onsen” dan juga berhampiran dengan tempat-tempat pelancongan di sekitar Kolam Panas Yunokawa. Restoran ini menggunakan kaedah memanggang dengan arang, yang meningkatkan lagi rasa daging kambing. Hidangan utamanya ialah daging kambing import yang jarang ditemui, dikenali sebagai “Ganguro” (Biri-biri Suffolk), yang mempunyai bau kambing yang kurang kuat dan mempunyai tekstur lembut serta kenyal, menjadikannya popular di kalangan pencinta makanan dari seluruh kawasan.

Menu yang paling popular ialah daging kambing Ganguro segar. Anda juga boleh menikmati potongan istimewa seperti lidah kambing dan hati kambing dalam satu hidangan. Selain itu, terdapat juga hidangan daging lembu dan babi.

  • Alamat:1-29-4, Yunokawa-cho, Hakodate, Hokkaido
  • Akses:4 minit berjalan kaki dari perhentian trem “Shimin Kaikan-mae”, dan kira-kira 2 minit berjalan kaki dari perhentian trem “Yunokawa Onsen-mae”.
  • Waktu operasi:17:00~23:00(Last Order 22:00)
  • Cuti:Khamis
  • Tempahan:0138-57-1787
  • Laman web rasmi (Bahasa Jepun), Instagram Rasmi

Akhir sekali

Tiga restoran Genghis Khan yang diperkenalkan di atas terletak di kawasan pelancongan yang mudah diakses, dan masing-masing menampilkan keistimewaan tersendiri dari segi jenis daging, perapan, dan cara penyediaan. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, daging kambing muda semakin mendapat sambutan sebagai pilihan makanan sihat yang rendah kalori. Jika anda berkunjung ke Hakodate, jangan lepaskan peluang untuk menikmati sendiri keenakan daging Genghis Khan asli di tempat asalnya!

※Sila semak maklumat terkini kedai untuk rujukan menu dan harga.