Keyword Search

Menjelajah Minuman Tempatan Hakodate — Melawat 5 Kilang Sake, Kilang Wain & Kilang Bir yang Unik

Hakodate adalah sebuah bandar pelabuhan yang penuh dengan suasana asing yang menarik, menawarkan bukan sahaja pemandangan malam yang indah, sumber air panas, dan hidangan laut segar, tetapi juga budaya minuman yang pelbagai dan membanggakan. Daripada sake, wain, hingga bir kraft, kesemuanya mencerminkan ciri-ciri unik alam sekitar tempatan.

Sejarah pembuatan sake di Hokkaido agak singkat berbanding dengan Honshu. Walaupun penghasilan sake bermula pada zaman Meiji, iklim sejuk, keadaan pembuatan yang terhad, dan pengeluaran beras sake yang sedikit pernah menyebabkan industri ini terhenti seketika. Namun, pada tahun-tahun kebelakangan ini, dengan kemajuan teknologi pembuatan, bersama varieti beras sake unik Hokkaido dan sumber air yang banyak, penghasilan sake berkualiti tinggi dan berbeza khas di wilayah ini telah berjaya dijalankan.

Selain sake, industri wain Hokkaido juga berkembang dengan stabil sejak pertengahan abad ke-20. Kualiti air tempatan juga sangat sesuai untuk pembuatan bir kraft, menyebabkan munculnya kilang wain dan bir yang terkenal di sekitar Hakodate yang sangat berbaloi untuk dilawati.

Bagi mereka yang berminat dengan minuman beralkohol atau ingin mendalami budaya makanan Hakodate, merancang lawatan keliling sake dan kilang bir tempatan amat disarankan. Melalui pengalaman rasa, anda dapat merasai satu lagi sisi menarik bandar ini! Lima kilang pembuatan yang diperkenalkan di sini mempunyai ciri tersendiri, membolehkan pelawat menikmati kepelbagaian budaya minuman Hakodate pada masa yang sama.

Kilang sake ‘Goryo no Kura’ yang ditubuhkan di bandar Hakodate buat pertama kalinya dalam tempoh setengah abad

Kilang Sake Kamikawa Taisetsu ialah syarikat pengeluar sake terkenal di Hokkaido, dan Goryō no Kura yang terletak di Hakodate merupakan kilang sake ketiga mereka. Ia mula menghasilkan sake pada tahun 2021, menggunakan beras sake dari kawasan Kameo di Hakodate serta varieti beras dari Hokkaido seperti Suisei, Ginpu, dan Kitashizuku. Untuk air penapaian, mereka menggunakan air ultra lembut dari kawasan sungai Matsukura.

Dengan menggunakan kaedah tradisional, setiap kelompok moromi (Campuran yang ditapai) dihasilkan dengan penuh teliti, menghasilkan sake berkualiti tinggi yang hanya boleh ditemui di Hakodate. Siri sake unggul mereka, “Goryō”, telah memenangi pelbagai anugerah berprestij.

Goryō no Kura ialah sebuah fasiliti yang menggabungkan kilang sake dan kedai di satu tempat. Di sini, bukan sahaja anda boleh membeli pelbagai produk secara langsung, tetapi juga melihat sendiri proses pembuatan sake. Di dalam kedai, terdapat set percubaan yang ditawarkan (¥880 untuk 3 jenis, setiap satu 30ml, termasuk snek yang sesuai dengan sake dan air penapaian). Anda boleh menikmati tiga jenis sake berbeza iaitu Junmai, Junmai Ginjō, dan Junmai Daiginjō, dan merasai pelbagai aroma dan rasa dari setiap jenis.

Selain itu, kedai ini juga menawarkan ais krim sake kasu (sisa penapaian sake) buatan sendiri, menjadikan suasana lebih santai dan menyeronokkan untuk menikmati sajian berkaitan sake. Ia adalah tempat yang sesuai untuk menikmati minuman, membeli-belah, dan meluangkan masa dengan gembira.

“Hakodate Jozou”: Kilang sake yang dibuka semula di Selatan Hokkaido selepas 35 tahun

Hakodate Jozou ditubuhkan pada tahun 2020, menjadikannya kilang sake pertama yang dibuka di wilayah selatan Hokkaido dalam tempoh 35 tahun. Kilang ini memberi tumpuan kepada penghasilan sake baharu bernama “Gōhō”, dengan memanfaatkan tiga harta berharga tempatan Hokkaido: air, beras, dan manusia.

Beras sake seperti Ginpu, Suisei, dan Kitashizuku ditanam oleh petani tempatan di Dataran Ono, kawasan asal penanaman padi di Hokkaido melalui kontrak khas. Sementara itu, sumber air sederhana lembut yang sesuai untuk pembuatan sake diambil daripada air bawah tanah Gunung Yokotsu, menghasilkan sake yang segar dengan sedikit rasa manis. Antara produknya, “Gōhō Tokubetsu Junmai Ichibi” telah memenangi Anugerah Utama Makanan Berkualiti Tinggi dari Utara (2023).

Di Hakodate Jozou, lawatan ke kilang sake tersedia pada hujung minggu dan cuti umum, termasuk sesi merasa sake secara percuma. Pengunjung berpeluang menikmati pelbagai jenis sake terpilih. Selain produk popular yang dijual di kedai, terdapat juga sake edisi khas yang hanya dijual di lokasi kilang — menjadikannya destinasi yang tidak boleh dilepaskan oleh pencinta sake.

Di tingkat dua yang dipenuhi aroma kayu cedar tempatan (sugi), pelawat boleh melihat dari dekat peralatan pembuatan sake seperti tangki penapaian dan mesin penekan, sambil mempelajari proses penghasilan sake secara langsung. Bagi mereka yang berminat dengan budaya sake dan teknik pembuatannya, ini adalah peluang pembelajaran yang sangat berharga.

  • Alamat: 1-2-3 Ōnakayama, Bandar Nanae, Kameda, Hokkaido
  • Waktu operasi:
    ① 10:00 pagi – 12:00 tengah hari
    ② 1:00 petang – 4:00 petang
  • Hari tutup: Isnin hingga Jumaat (Hanya beroperasi pada Sabtu, Ahad & Cuti Umum)
  • Tempahan: Tidak diperlukan
  • Laman web rasmi (Bahasa Jepun)

De MONTILLE & HOKKAIDO – Kilang wain terkenal dari Perancis yang menjadi peneraju trend dunia

Di Hokkaido, selain pembuatan sake dan bir, penghasilan wain juga semakin berkembang pesat pada tahun-tahun kebelakangan ini. Domaine de Montille ialah sebuah kilang wain keluarga yang mempunyai sejarah selama 300 tahun dan merupakan salah satu kilang wain tertua di wilayah Burgundy, Perancis. Ketua keluarga kini, Etienne de Montille, telah menemui bahawa iklim dan tanah di Hokkaido sesuai untuk penanaman anggur Pinot Noir dan Chardonnay.

Di antara kawasan-kawasan tersebut, Hakodate dikenalpasti mempunyai iklim yang lebih sederhana berbanding Yoichi, dengan salji yang kurang dan kondisi pencahayaan serta tanah yang amat sesuai untuk penanaman anggur. Akhirnya, Hakodate dipilih sebagai pangkalan luar negara mereka.

Pada tahun 2016, Etienne de Montille memulakan projek kerjasama Jepun-Perancis bernama “De MONTILLE & Hokkaido”, menjadikan mereka pengeluar kilang wain asing pertama yang menubuhkan ladang anggur di Jepun. Pada tahun 2019, mereka mula menanam anggur di ladang anggur di Hakodate.

Kilang wain ini telah menghasilkan wain dalam kuantiti kecil menggunakan anggur dari Yoichi antara tahun 2018 hingga 2022, dengan lima jenis wain yang diberi nama “Go”, “Kyou”, “Gaku”, “Ri”, dan “Tan”. Pada tahun 2023, mereka memulakan pembuatan wain menggunakan anggur pertama yang dituai di Hakodate, dengan rancangan pelepasan wain pertama dijangka pada tahun 2025.

*Setakat ini, wain tidak dijual secara langsung di kilang wain, tetapi sebahagian wain boleh dicuba di restoran dengan bayaran (1100 yen segelas).

  • Hari operasi: Isnin, Khamis hingga Ahad
  • Waktu operasi: 5:00 petang – 10:00 malam (Pesanan terakhir pada 9:00 malam)
  • Tempahan: Melalui borang pertanyaan di laman web atau emel (info-hokkaido@demontille.com)
  • Servis shuttle : Pengangkutan disediakan dari Stesen JR Kikyō (had maksimum 4 orang untuk sementara waktu). Sila maklumkan waktu ketibaan anda di Stesen Kikyō semasa membuat tempahan.

Hakodate Wine—Pakar Pembuatan Wain di Wilayah Selatan Hokkaido

Hakodate Wine ialah salah satu kilang wain yang mewakili wilayah selatan Hokkaido. Ditubuhkan pada tahun 1973, Hakodate Wine menggunakan anggur yang kebanyakannya ditanam di Hokkaido untuk menghasilkan pelbagai jenis wain. Kilang ini sangat menekankan hubungan erat dengan iklim dan tanah tempatan. Jenis wain yang dihasilkan pula ada pelbagai, daripada wain meja yang sesuai untuk dinikmati sehari-hari sehingga wain putih manis yang kaya dengan aroma buah-buahan.

Di kedai rasmi mereka, terdapat perkhidmatan mencuba wain secara percuma. Pengunjung hanya perlu memberitahu kakitangan di kaunter untuk mendapatkan token mesin, dan mereka akan menunjukkan cara menggunakannya. Di sini, pengunjung boleh membandingkan pelbagai rasa wain. Selain itu, aiskrim yang diperbuat daripada wain merah dan putih juga sangat popular. Jika ada peluang berkunjung, jangan lepaskan!

Hakodate Wine juga menawarkan lawatan kilang secara percuma dengan panduan staf pada hari biasa (tempahan diperlukan sehari sebelum lawatan). Pengunjung boleh melihat proses pembuatan wain di dalam kilang, termasuk kawasan pengurusan fermentasi dan bilik pembotolan, dan menyaksikan bagaimana wain dihasilkan menggunakan peralatan moden. Tempat ini sangat sesuai untuk mereka yang ingin lebih mengenali dunia wain.

  • Alamat: 11 Kamifujishiro, Bandar Nanae, Daerah Kameda, Hokkaido, Jepun
  • Waktu operasi:
    • April hingga Disember: 10:00 pagi – 5:30 petang
    • Januari hingga Mac: 10:00 pagi – 5:00 petang
  • Hari tutup:
    • April hingga Disember: Rabu
    • Januari hingga 19 Mac: Selasa dan Rabu (jadual boleh berubah jika hari cuti jatuh pada hari Selasa atau Rabu)
    • Cuti Tahun Baru
  • Laman web rasmi (Bahasa Jepun)
  • Hari lawatan: Hanya pada hari bekerja (Isnin hingga Jumaat), tempahan mesti dibuat sehari sebelum lawatan
  • Waktu lawatan: 10:00 pagi – 4:00 petang
  • Maklumat lawatan: Lawatan berpandu oleh staf yang menerangkan proses, termasuk melihat peralatan pembuatan dan bilik pembotolan. Di kedai rasmi, pengunjung boleh mencuba wain yang disyorkan.
    • Musim panas (April hingga Oktober): 3 sesi (11:00 pagi, 2:00 petang, dan 3:30 petang)
    • Musim sejuk (November hingga Mac): 2 sesi (11:00 pagi dan 2:00 petang)
  • Tempoh lawatan: Kira-kira 30 minit
  • Tempahan:
  • Pautan berkaitan (Bahasa Jepun)

HAKODATE BEER—Bir Kraft pertama di Hakodate

Selepas menikmati sake dan wain, cubalah bir kraft Hakodate! HAKODATE BEER adalah jenama bir buatan tempatan yang paling terkenal di kawasan ini. Kilang bir bergaya moden Meiji ini terletak berhampiran Pelabuhan Hakodate dan juga dekat dengan Gudang Kanemori yang diperbuat daripada bata merah.

Restoran yang bersebelahan menyajikan hidangan menggunakan hasil laut segar dan sayur-sayuran dari bahagian selatan Hokkaido jadi boleh menikmati hidangan lazat Hokkaido bersama bir buatan tempatan. Ia pasti menambah lagi kenikmatan perjalanan anda.

Kilang bir ini menghasilkan kira-kira 350 kiloliter bir setiap tahun. Di hadapan kilang terdapat tempat duduk kaunter di mana anda boleh melihat secara langsung proses pembuatan bir sambil menikmati rasa bir Hakodate. Untuk yang ingin mencuba pelbagai rasa, terdapat set percubaan yang disyorkan:①Set percubaan 3 jenis bir (1,320 yen, setiap satu 120ml, termasuk kudapan)②Set percubaan 4 jenis bir (1,760 yen, setiap satu 120ml, termasuk kudapan) Set ini sangat sesuai untuk mereka yang ingin menikmati pelbagai jenis rasa bir.

  • Alamat: 5-22 Ōtemachi, Hakodate, Hokkaido, Jepun
  • Waktu operasi : 11:00-15:00 / 17:00-21:30(Order terakhir:Masa mungkin berubah mengikut musim)
  • Cuti: Rabu, Khamis ke-2 setiap bulan
  • Tempahan:via e-mel(beer@hakodate-factory.com
  • Laman web rasmi (Bahasa Jepun)

Kesimpulan

Kilang arak sake “Goryō no Kura” dan “Hakodate Jōzō”, ladang wain “De MONTILLE & HOKKAIDO” dan “Hakodate Wine”, serta kilang bir “HAKODATE BEER” semuanya menyampaikan daya tarikan Hokkaido dan semangat ketukangan. Melalui minuman mereka yang lazat, mereka berkongsi satu lagi keunikan Hakodate kepada para pelancong.

Bagi pengunjung yang merancang perjalanan ke Hakodate, minuman-minuman yang enak ini pastinya akan menambahkan keseronokan dan daya tarikan dalam pengalaman perjalanan anda!

  • Pemanduan di bawah pengaruh alkohol adalah dilarang oleh undang-undang Jepun.
  • Meminum alkohol bawah umur 20 tahun adalah dilarang oleh undang-undang Jepun.
  • Minum alkohol semasa mengandung atau menyusu boleh memberi kesan buruk kepada perkembangan janin atau bayi.
  • Apabila mencuba minuman, sila minum secara sederhana dan beri perhatian kepada keadaan kesihatan diri sendiri.