Keyword Search

Lapangan Terbang Hakodate Kini Lebih Menyeronokkan、Panduan Lengkap Kaunter Maklumat dan Kedai-Kedai

〔Tarikh Kemaskini:November 2025〕

Lapangan Terbang Hakodate merupakan sebuah pintu gerbang masuk ke udara Bandar Hakodate. Lapangan Terbang Hakodate juga terkenal dengan jaraknya yang sangat dekat dengan pusat bandar dan aksesnya yang mudah. Selepas diswastakan bersama enam lapangan terbang lain di Hokkaido pada Januari 2020, kaunter maklumat dan kedai-kedai di terminal domestik telah melalui proses pembaharuan besar pada Mac 2022. Kemudian, pada 5 Ogos 2025, sebuah medan selera baharu dibuka di tingkat tiga, menjadikan lapangan terbang ini semakin menarik untuk dikunjungi.

Kini, Lapangan Terbang Hakodate telah berubah menjadi ruang yang penuh keterujaan, di mana para pengunjung boleh merasai keunikan Hakodate sejak melangkah masuk sehingga sebelum berlepas. Jom kita terokai keseluruhan bangunan terminal yang baru ditambahbaik ini.

Akses ke Lapangan Terbang Hakodate

Oleh sebab tiada laluan kereta api yang menghubungkan lapangan terbang ini secara terus, jadi pilihan utama untuk ke bandar ialah dengan menaiki kereta sewa, teksi, dan paling mudah adalah bas. Jika anda ingin ke Stesen Hakodate, Pasar Pagi Hakodate, Goryokaku, Onuma, atau Stesen Shin-Hakodate-Hokuto, anda boleh terus menaiki bas dari platform nombor 1 hingga 3 yang terletak berhampiran pintu keluar di kawasan ketibaan terminal domestik.

Panduan penggunaan bas (Bahasa Inggeris)
Laman web rasmi Lapangan Terbang Hakodate (Bahasa Inggeris)

Gambaran Ringkas Terminal

Terdapat 2 bangunan terminal di Lapangan Terbang Hakodate. Terminal Domestik terdiri daripada 3 aras manakala Terminal Antarabangsa terdiri daripada 2 aras.

Terminal Domestik

Rangkaian penerbangan domestik dari Hakodate menghubungkan bandar-bandar Tokyo, Osaka, Nagoya, Sapporo (New Chitose dan Okadama), serta Okushiri. Kemudahan utama semuanya terletak di terminal penerbangan domestik, termasuk kaunter maklumat, perkhidmatan penghantaran bagasi, restoran, kedai cenderamata, dan kedai serbaneka.

Waktu operasi terminal domestik: 6:30 pagi – 8:30 malam

Terminal Antarabangsa

Penerbangan antarabangsa dari Hakodate menghubungkan Taiwan (Starlux Airlines, Tigerair Taiwan) dan Korea (Jeju Air).

Waktu operasi terminal antarabangsa:

  • Isnin, Rabu, Khamis, Jumaat, Ahad: 10:00 pagi – 6:30 petang
  • Selasa, Sabtu: 3:00 petang – 6:30 petang

※Waktu buka dan tutup mungkin berubah disebabkan perubahan jadual penerbangan atau kelewatan. Sila semak maklumat terkini (Bahasa Inggeris) untuk perincian.

Perkara Pertama Setelah Tiba: Dapatkan Maklumat

Tingkat 1 Terminal Domestik・INFORMASI TEMPATAN ‘Gattsuri Dounan’~ Pusat Maklumat Pelancongan Gaya Baharu yang Lengkap untuk Hokkaido Selatan

Terletak betul-betul berhadapan kepada lobi balai ketibaan, ‘Gattsuri Dounan’ adalahb  sebuah kaunter maklumat pelancongan di mana anda boleh mendapatkan informasi lokal tentang Lapangan Terbang Hakodate dan kawasan selatan Hokkaido. Kakitangan yang bertugas sentiasa bersedia untuk membantu menjawab pelbagai pertanyaan.

(Sumber gambar:Lapangan Terbang Hakodate)

Di rak yang dibahagikan mengikut kawasan, terdapat ‘Kad Donanbito’ (Kad bisnes) di mana penduduk tempatan dan kakitangan kaunter maklumat berkongsi tempat menarik pilihan mereka serta cara terbaik untuk menikmatinya di kawasan Hakodate dan selatan Hokkaido. Selain itu, pelbagai kad kedai dan pamplet pelancongan juga turut disediakan dan boleh diambil secara percuma.

(Sumber gambar:Lapangan Terbang Hakodate)

Di salah satu sudut kaunter maklumat, terdapat sebuah meja yang diperbuat daripada kayu tempatan (Cedar Selatan Hokkaido) yang boleh digunakan orang awam untuk berehat, makan minum, atau kerja menggunakan komputer riba. Warna kayu ini dipilih daripada hasil undian penduduk tempatan yang digelar sebagai sebagai ‘Hakodate Colours’, dan ia digunakan di pelbagai bahagian dalaman terminal.

(Sumber gambar:Lapangan Terbang Hakodate)

Kaunter untuk syarikat kereta sewa juga tersedia.

(Sumber gambar:Lapangan Terbang Hakodate)

Bagi mereka yang ingin menggunakan pengangkutan awam, sila semak 6 skrin paparan yang terletak di luar kaunter maklumat. Jika mahukan info lebih lanjut, kakitangan kaunter maklumat sedia membantu, jadi jangan segan silu untuk bertanya.

(Sumber gambar:Lapangan Terbang Hakodate)

Restoran yang Boleh Dikunjungi Setelah tiba atau Sebelum Berlepas

Terminal Domestik Aras 3・HAKODATE GOURMET PORT

Dibuka pada 5 Ogos 2025

Lokasinya terletak di tingkat 3 Terminal Domestik. Reka bentuknya yang hangat dengan nuansa batu bata mencerminkan suasana bandar pelabuhan Hakodate, mencipta ruang yang penuh dengan suasana antarabangsa. Jumlah tempat duduk meningkat kira-kira 1.5 kali berbanding ketika masih menjadi restoran, dan dari tempat duduk yang menghadap landasan kapal terbang, pengunjung boleh melihat kapal terbang berlepas dan mendarat, serta sekiranya cuaca mengizinkan, pemandangan Semenanjung Shimokita juga boleh dilihat. Medan selera ini menempatkan lima kedai popular dari Hakodate dan kawasan selatan Hokkaido.

Matsukasa(Restoran Ramen)

(Sumber gambar:Lapangan Terbang Hakodate)

Berasal dari Nanae, Hokkaido, “Matsukasa” ialah restoran ramen terkenal yang sangat digemari bukan sahaja oleh penduduk tempatan tetapi juga pelancong. Ramen miso pekat yang menjadi kebanggaannya menggunakan tare istimewa hasil gabungan tiga jenis miso, bersama kuah berganda tonkotsu dan ayam yang menghasilkan rasa yang kaya tetapi tidak terlalu berat. Mi keriting sederhana yang kenyal serta pelbagai topping menaikkan lagi kelazatan hidangan ini, menjadikannya semangkuk ramen terbaik yang pasti menjadi kenangan manis dalam perjalanan anda.

Konishi Fish Wholesaler Kibarashi Dining (Makanan Laut)

(Sumber gambar:Lapangan Terbang Hakodate)

Ini adalah kedai makanan laut yang dikendalikan oleh Konishi Fish Wholesaler, pembekal ikan segar di Hakodate, Hokkaido. Mereka menyajikan pelbagai hidangan, termasuk donburi makanan laut yang mewah menggunakan hasil laut pilihan berkualiti tinggi, serta menu lain yang menekankan penggunaan bahan tempatan dari Hakodate dan kawasan selatan Hokkaido. Pengunjung boleh menikmati rasa autentik makanan laut ini dengan mudah di dalam lapangan terbang.

Hakodate Dining Gaya(Makanan Laut)

(Sumber gambar:Lapangan Terbang Hakodate)

Hasil laut segar yang diperoleh setiap hari di Pasar Ikan Hakodate dan dari kawasan pantai berhampiran disediakan dengan teliti oleh tukang masak berkemahiran di restoran. Mereka menyajikan set hidangan menggunakan ikan tempatan yang menonjolkan rasa semula jadi bahan, serta “Kegani Meshi” (Nasi Ketam), hidangan menggunakan ketam Hokkaido yang disediakan dengan tumpuan pada rasa dan kualiti. Para pengunjung boleh menikmati rasa segar dari setiap musim sepanjang tahun.

Hikomabuta KITCHEN(Hidangan Daging)

(Sumber gambar:Lapangan Terbang Hakodate)

Ini adalah restoran yang menghidangkan hidangan daging babi, dikendalikan terus oleh ladang penternakan babi di Bandar Mori, selatan Hokkaido. Mereka menggunakan jenama sendiri, ‘Hikoma Buta’, yang terkenal dengan rasa lemak yang manis serta tekstur daging yang lembut dan berjus. Pelanggan boleh menikmati hidangan popular seperti set makan daging halia dan donburi babi, yang menonjolkan keenakan bahan, sebagai sebahagian daripada sajian tempatan yang digemari penduduk dan pelancong.。

méli mélo(Kedai Kari)

(Sumber gambar:Lapangan Terbang Hakodate)

Ini adalah restoran kari yang diasaskan oleh Daisuke Sato, seorang chef Michelin dari Hakodate yang membina reputasinya di restoran Perancis bertaraf bintang di Sapporo, méli mélo. Kali ini, beliau membawa kepakarannya ke tanah kelahiran di selatan Hokkaido, dengan menyajikan kari sup dan kari roux.

Kari Sup Berasaskan Hasil Laut adalah salah satu menu kari yang amat disyorkan. Menu tersebut menggunakan kuah berganda yang menonjolkan keenakan hasil laut dan ayam, dipadankan dengan rempah khas, serta disiapkan dengan teknik Perancis untuk menghasilkan rasa yang unik dan halus. Di medan selera yang memancarkan keaslian Hakodate ini, pengunjung boleh menikmati hidangan yang lazat sebelum dan selepas penerbangan.

Terminal Domestik Aras 1・Ramen and Soba Noodles Onjiki Niwamoto~Shio Ramen Asli Hakodate yang Popular

(Sumber gambar:Laman web rasmi Lapangan Terbang Hakodate)

Kedai ramen ini terkenal dengan menu ‘Ganso Hakodate Shio Ramen’, iaitu ramen dengan sup jernih dan ringan serta mi buatan sendiri. Apabila cawangan dibuka di Lapangan Terbang Hakodate pada tahun 1971, mereka menamakan ramen garam ini sebagai ‘Hakodate Ramen’ supaya mudah diingati oleh pelancong, dan sejak itu menggunakan gelaran ‘Ganso’ atau versi asal. Kedai ini juga menyajikan menu lain yang memberi rasa Hokkaido, seperti ‘Kaikyō Ramen’ dengan udang dan kerang, serta ‘Trappist Ramen’ dengan mentega dan jagung.

Terminal Domestik Aras 1・CAFE Misuzu~Kedai Kopi Lama yang Disukai Penduduk Tempatan

(Sumber gambar:Laman web rasmi Lapangan Terbang Hakodate)

Ditubuhkan di Hakodate pada tahun 1932, menjadikannya kedai kopi tertua dan bersejarah di Hokkaido. Kedai ini menyajikan minuman klasik seperti ‘kopi campuran’ serta hidangan ringan. Antara yang popular ialah ais krim berperisa ‘kopi’, yang menampilkan rasa pahit halus dan aroma kopi panggang sendiri yang kaya. Ais krim dan minuman keduanya boleh dibawa pulang.

Terminal Domestik Aras 1・Sushi Mitsuya~Kedai sushi berdiri yang dikendalikan oleh pemborong hasil laut yang berpusat di hadapan Stesen Hakodate

(Sumber gambar:Laman web rasmi Lapangan Terbang Hakodate)

Anda boleh menikmati sushi yang dibuat daripada hasil laut segar terus daripada pemborong yang berpusat di hadapan Stesen Hakodate, dalam gaya berdiri yang santai dan mudah. Selain sushi, mereka juga menawarkan donburi dan pelbagai minuman, termasuk alkohol.

Terminal Domestik Aras 2 Ruang Menunggu Balai Pelepasan ・FLIGHT FRY~Menu yang Boleh Dicuba Sebelum Berlepas

(Sumber gambar:Laman web rasmi Lapangan Terbang Hakodate)

Restoran ini terletak di kawasan menunggu balai pelepasan di tingkat 2 terminal domestik, selepas melepasi pemeriksaan keselamatan. Di sini, anda boleh membeli pelbagai hidangan yang penuh dengan cita rasa Hokkaido dan Hakodate, yang sesuai dinikmati walaupun dalam masa singkat sebelum penerbangan, serta beberapa pilihan yang disyorkan untuk dibawa masuk ke dalam pesawat.

※Hanya boleh diakses untuk penumpang penerbangan domestik yang berlepas dari Lapangan Terbang Hakodate.

Menu termasuk burger unik hasil ciptaan sendiri yang menggunakan kepakaran tempatan Hokkaido, seperti ‘Ezo Deer Gibier Burger’ yang diperbuat daripada daging rusa Ezo Hokkaido dan daging babi, bersama hidangan kegemaran Hokkaido lain seperti ayam goreng (zangi) dan Genghiskhan. Hidangan khas kedai ini, ‘NORI BENTO’, ialah bekal makanan eksklusif lapangan terbang yang menampilkan aroma kaya rumpai laut batu, dipadankan dengan mentega dan kicap Gagome kombu. Saiznya sesuai untuk dinikmati di dalam kabin pesawat.

Kroket terkenal dari Asari Meat Shop, sebuah kedai daging lama yang disukai penduduk tempatan Hakodate, juga tersedia dalam kuantiti terhad dari jam 11 pagi (tidak tersedia pada hari Rabu). Lengkapkan hidangan anda dengan ‘Hokkaido Selected Beer Tasting Set’, yang menampilkan dua bir kraf dari Otobe Oiwake Brewing di Bandar Otobe dan Sapporo Classic.

Kedai yang Boleh Dikunjungi untuk Membeli Cenderamata

Terminal Domestik Aras 2・THE HAKODATE DEPART~Kedai yang Dikendalikan Secara Langsung

(Sumber gambar:Laman web rasmi Lapangan Terbang Hakodate)

Dikendalikan terus oleh syarikat pengendali Lapangan Terbang Hakodate, kedai ini menawarkan cenderamata terkenal dari Hokkaido seperti ‘Rokkatei’ dan ‘Shiroi Koibito’, serta barangan terpilih dari Hakodate dan selatan Hokkaido. Dari manisan dan ‘topping’ nasi hingga minuman keras tempatan, snek, dan kari segera buatan tempatan, kedai ini menampilkan pelbagai produk yang diinspirasikan oleh kawasan lokal. Susunan barangan dibuat mengikut kategori dalam gaya seperti dewan makanan di pusat beli-belah, memudahkan pengunjung yang mahu mencuci mata.

Sudut ‘Hako to Tate’ mempamerkan barangan gaya Hakodate, termasuk ukiran haiwan kayu eksklusif lapangan terbang dan pelapik berbentuk Goryokaku yang hadir dalam rekaan bermusim. Satu sudut khas yang dipanggil ‘Donan Osekkai Yokocho’, yang menghimpunkan cenderamata dari Hakodate dan selatan Hokkaido, dibuka pada Jun 2022. Ruang ini menampilkan pelbagai produk yang disyorkan, termasuk minuman keras tempatan, hasil laut, manisan, dan banyak lagi. 

Terminal Domestik Aras 2・Zon Kedai~Pilihan yang Pelbagai

Bersebelahan dengan kedai milik langsung Lapangan Terbang Hakodate, ‘THE HAKODATE DEPART’, terdapat deretan kedai cenderamata yang pelbagai. Setiap kedai menawarkan barangan yang berbeza, jadi jangan lepaskan peluang untuk melihat-lihat.

Terminal Domestik Aras 2・Petit Gallery Kogumaza~Terkenal Dengan Poskad Landskap yang Cantik

(Sumber gambar:Laman web rasmi Lapangan Terbang Hakodate)

Ini ialah studio dan kedai Sho Onishi, seorang pelukis dari Hakodate. Beliau menghasilkan lukisan air secara langsung, menampilkan keindahan landskap Hakodate dan Hokkaido. Kedai ini mempamerkan dan menjual karya asal yang dibingkaikan, poskad yang diterbitkan daripada karya asal, serta penanda buku, menjadikannya cenderamata yang sempurna untuk mengingati pemandangan yang anda lihat semasa perjalanan.

Terminal Antarabangsa Aras 2 DUTY FREE SHOP

(Sumber gambar:Laman web rasmi Lapangan Terbang Hakodate)

Kedai Bebas Cukai ini terletak di kawasan menunggu pelepasan antarabangsa, selepas melepasi pemeriksaan keselamatan. Kedai ini kecil tetapi menawarkan kosmetik, minyak wangi, minuman keras, tembakau, dan pelbagai cenderamata bebas cukai.

Kedai Serbaguna & Kemudahan Lain

Terminal Domestik Aras 1・LAWSON~Rakan Setia Semasa Perjalanan

(Sumber gambar:Laman web rasmi Lapangan Terbang Hakodate)

Ia terletak di sebelah kanan sebaik sahaja anda turun di lobi ketibaan penerbangan domestik. Di kawasan seperti arah Motomachi di kaki Gunung Hakodate, terdapat kawasan yang kurang mempunyai kedai serbaneka, jadi jika anda memerlukan sesuatu, belilah di sini sebelum keluar dari lapangan terbang.

Terminal Domestik Aras 2・Business Lounge A Spring.~Ruang Rehat Berbayar untuk Bersantai

(Sumber gambar:Laman web rasmi Lapangan Terbang Hakodate)

Ruang rehat berbayar ini menyediakan minuman ringan percuma, Wi-Fi, serta akses kepada majalah dan surat khabar. Ia merupakan tempat yang sesuai untuk berehat sebelum berlepas atau selepas ketibaan. Bayarannya adalah 1,050 yen seorang (percuma untuk kanak-kanak bawah 3 tahun). Tetamu yang terbang pada hari yang sama dan mempunyai kad keahlian yang layak boleh menggunakan ruang ini secara percuma. Bilik peribadi juga disediakan untuk bekerja dengan lebih fokus. (4,400 yen per jam)

Terminal Domestik Aras 3・Dek Pemerhatian~Saksikan Pesawat Berlepas dan Mendarat dengan Pemandangan Menakjubkan

(Sumber gambar:Laman web rasmi Lapangan Terbang Hakodate)

Anda boleh menikmati pemandangan menakjubkan Selat Tsugaru dan Gunung Hakodate sambil melihat pesawat berlepas dan mendarat. Selain untuk menghantar atau menjemput penumpang, dek ini juga sesuai untuk menghabiskan masa menunggu sebelum penerbangan atau sebagai tempat berehat.

Penutup

Lapangan Terbang Hakodate berfungsi sebagai pintu masuk utama di bahagian selatan Hokkaido, dengan akses yang mudah ke tarikan pelancongan di bandar Hakodate. Sama ada anda menggunakan Hakodate sebagai pintu masuk ketika melancong di Hokkaido atau singgah sebagai tempat perhentian, adalah sangat disyorkan untuk meluangkan sedikit masa di lapangan terbang. Melalui pengalaman menjamu selera di restoran, membeli cenderamata, dan menggunakan pelbagai kemudahan, anda boleh merasai daya tarikan unik Hakodate dan mencipta kenangan indah sepanjang perjalanan di Hokkaido.